Saturday, August 13, 2016

Ukhuwah@Persaudaraan



Ikhwanna...

Kawan atau member adalah orang yang kita akan cari selepas daripada keluarga. Salah satu dari nikmat Allah SWT kepada kita adalah mempunyai kawan yang baik dan memahami diri kita. Dengan berkawan, kita belajar untuk saling berkenalan, tolong-menolong dan mengetahui  keunikan setiap individu tersebut.

Bukan bau wangi aku lah..!




Memberlah tempat kita enjoy, tempat kita kongsi masalah, tanya pendapat itu ini, sharing secrets dan kadang-kadang buat nakal-nakal skit. Jadi member inilah yang sebahagian besarnya akan mempengaruhi perkembangan peribadi diri kita dalam sedar atau tidak. Sebagai contoh jika kita berkawan dengan seorang yang minat bola sepak maka kita pun akan turut sama tahu berkenaan dengan bola sehinggakan apabila kita bercakap dengan orang ramai, bila masuk perihal bola kita seolah-olah mengetahui sungguh padahal kita hanyalah terkesan dari suasana rakan-rakan yang sering bercakap berkenaan bola sepak. Itulah penangan member kepada persoaliti kita.

 “Sahabat yang baik umpama penjual minyak wangi, biarpun kamu tidak membeli minyak wanginya, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau minyak wangi yang dijualnya. Sebaliknya, sahabat yang jahat seumpama tukang besi, kalaupun tidak terbakar baju kamu akibat api besi yang diketuk, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau hangitnya”-HR. Muslim

Islam menekankan pemilihan member-member ini kerana Islam tahu bahawa kawan itu akan menjadi cerminan kepada kawannya. Pilih kawan yang kita akan luangkan banyak masa bersama, susah senang bersama dan belajar membuat keputusan bersama adalah kawan yang menjadikan Islam sebagai perinsip hidupnya.

Nasib duk ngan ko kalu tak berhabuk Quran aku ni…!




“(Agama) Seseorang itu adalah sama seperti (mengikuti) agama sahabat karibnya, maka perhatikan dengan siapa kalian bersahabat.” (HR. Abu Dawud)

Seorang kawan itu sepatutnya memberikan kesan dan pengaruh yang baik pada kawannya. Jika kawannya lupa maka dialah yang patut mengingatkannya. Jika kawannya tidak tahu apa yang salah maka dialah yang patut memperbetulkannya. Jika kawannya buat silap maka dialah orang pertama yang menasihati dan menegur kawannya itu.

Tiang seri ukhuwah kita bukan kayu jati..tapi iman sejati!

Ukhuwah di dalam Islam tertegak atas dasar keimanan dan ketaqwaan. Praktikalnya bagaimana? Sering kali kita dengar alasan apabila seorang itu buat suatu kesalahan maka kita bertanya pada kawannya kenapa tidak tegur? Maka jawabnya simple, takut kawan yang melakukakan kesalahan itu terguris hati atau kecil hati dengannya jadi dibiarkan kesalahan berkekalan asal hubungan persahabatan terus baik dan selamat. Ini salah! Seriously wrong! Ada juga yang beralasan masing-masing ada hak masing-masing jadi kau buat kerja kau dan aku buat kerja aku, yang ini pun konsep ukhuwah yang salah.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
“ Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain kecuali mereka yang bertaqwa”- surah az-Zukhruf : 67

Suatu hari nanti di mana semua makluk jin dan manusia hanya sibuk memikirkan hal keadaan diri masing-masing maka ketika itulah mereka yang kita panggil kawan dapat dilihat sama ada kita bersahabat dulu kerana Allah atau kerana kepentingan tertentu. Jika kita berkawan kerana Allah maka sepantasnyalah kita sama-sama menyibukkan diri dalam perkara ketaqwaan seperti sama-sama berusaha memperbaiki diri kearah lebih baik sebagaimana yang Islam ajarkan, memperbanyakkan amal kebajikan, menolong orang yang memerlukan bantuan, bercakap benar, memenuhi janji dan menjaga diri dari perkara yang dilarang agama. Semoga kita tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam ayat al-Quran di atas “..kecuali mereka yang bertaqwa”.

Ukhuwah antara family…!

Sungguh kedasyatan hari akhirat itu sangat menakutkan dan pasti kita sangat berhajat pada hubungan persaudaraan atas dasar ketaqwaan ini. Ukhuwah di jalan Allah juga ditegakkan dalam hubungan kekeluargaan dan bukan sahaja antara kita dan kawan-kawan. Ukhwah di dalam keluarga malah lebih mustahak kerana mereka adalah orang yang lebih dekat dengan kita. Seorang ayah pasti sanggup berpenat lelah demi memberi kesenangan kepada isteri dan anak-anaknya tetapi bolehkah kita bayangkan suatu keadaan ini bagaimana jika sebuah keluarga yang bahagia itu menjadi sebaliknya sehingga seorang ayah yang kita sebutkan tadi begitu penyayang malah berubah sehingga sanggup menggadaikan anak-anaknya, isterinya yang dahulu dia betul-betul melindunginya bahkan jika boleh mahu sahaja digadaikan seluruh manusia di bumi semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Renungkan firman Allah SWT ini yang bermaksud :

“Dan tidak ada seorang teman karib pun menanyakan temannya. Sedang mereka melihat pada hari itu, orang-orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus(dirinya) dari azab dengan anak-anaknya, dan isteri-isterinya dan saudaranya dan keluarganya yang melindunginya (di dunia) dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapkan (tebusan itu) dapat menyelamatkannya” surah al-Maarij: 10-14

Kerana itu penting dalam setiap hubungan kita, sama ada hubungan kekeluargaan atau persahabatan dipasakkan dengan kukuh akan kunci ikatan itu kerana Allah SWT supaya dengannya hubungan itu akan berkekalan dan bermanfaat bukan sahaja di dunia dengan kebahagiaan dan ketenangan malah dijanjikan pula keselamatan dan kesejahteraan di akhirat sana.

Potong 14…!

Mengimbau kembali ukhuwah antara sahabat radiyallahu a’nhum ajmaiin. Peristiwa keislaman ‘Uwaimir bin Malik al-Khazraji yang digelar dengan Abu Darda’. Beliau telah diislamkan oleh sahabat karibnya iaitu Abdullah bin Rawahah seorang penyair Ansor berketurunan Khazraj yang masyhur dan antara penduduk Yatsrib(kemudian dikenali dengan nama Madinah) yang awal memeluk Islam. Abu Darda’ sebelum keislamannya beliau adalah penyembah berhala yang sangat taat sehinggakan setiap pagi beliau akan pergi melumurkan patung itu dengan wangian-wangian dan akan pakaikan ia dengan pakaian sutera. Keadaan berubah bila mana suatu hari Abu Darda’ tiada di rumahnya maka sahabat karibnya Abdullah bin Rawahah datang dan berazam untuk menyedarkan rakannya bahawa patung ini tidak berkuasa, tidak dapat memberi manfaat dan mudarat. Di ambil pedang yang tajam dan dipotong berhala itu hingga terbelah semuanya. Ketika pulang Abu Darda’ amat terkejut dan terperanjat akan hal keadaan patung yang disembah itu dan kemudiannya mengetahui perbuatan itu dilakukan oleh sabahat karibnya Abdullah bin Rawahah. Dalam keadaan yang amat marah, dia benar-benar tidak percaya apa yang telah berlaku tetapi kemudiannya beliau berfikir dan marahnya mula reda. Dirinya berbicara, “Jika berhala ini mempunyai kebaikan, nescaya dia akan mempertahankan dirinya daripada kemudaratan yang menimpanya.” Beliau terus pergi menemui Abdullah bin Rawahah. Mereka berdua pergi menemui Rasulullah SAW dan di hadapan baginda Nabi SAW, beliau menyatakan keislamannya.

Begitulah nilai persahabatan yang sebenar. Jika sungguh kawan itu disayangi maka selamatkanlah mereka seperti mana kamu ingin diri kamu diselamatkan. Jangan pernah berburuk sangka dalam berukhuwah. Berlapang dadalah antara satu sama lain. Lumrah dalam kita bersahabat dan berukhuwah ini, makin kita kenal mereka maka makin banyak kelemahan dan kekurangan yang didapati. Bersabarlah kerana mereka yang bersabar ketika berukhuwah dalam masyarakat maka itu lebih baik dan mulia berbanding orang yang bersendirian kerana tidak tahan sabar dalam mendepani kerenah sahabat dan masyarakat. Bukankah Allah SWT bersama orang yang sabar dan Allah memuji orang yang bersabar sehingga Allah menyatakan yang “Sesungguhnya Aku bersama orang-orang yang sabar..” yang mana sabar itu adalah kerana Allah SWT.  Wallahu a’lam.







No comments:

Post a Comment