Teladani Tawakal Seekor Burung
Mulai sahaja cahaya matahari mengejutkan alam, pasti akan didengari nyanyian indah burung-burung yang saban hari hampir tidak pernah tiada dendangan lembutnya. Lihatlah diluar jendela, seekor burung yang bermain-main pada dahan-dahan pokok umpama tiada kerisauan langsung pada gerak tarinya. Sarangnya yang hanya dengan rumput dan daun kering menjadi tempat ia berlindung dari gelap malam. Tidak pernah terlihat oleh kita manusia, ada burung yang membawa bekal makanan dari cariannya melainkan untuk anak burung yang sedang lapar menanti suapan. Berpagi-pagian keluarnya seekor burung yang lapar dan pulang kembali ke sarang pada senja harinya dengan kenyang yang amat sehingga tidur dan diam sahaja sepanjang menanti cahaya esoknya kembali.
Teladanilah …
Jika kita fikirkan sejenak, bagaimana seekor burung yang keluar mencari makanan dapat memastikan yang ia bakal pulang nanti dalam keadaan kekenyangan? Pastinya tidak melainkan keyakinan makhluk ini pada Khalik yang memberi izinnya keluar mencari makan.
Dari Umar RH, dari Nabi SAW bersabda,
“ لو تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصًا وتروح بطانًا ”
“Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang"
(HR. Imam Ahmad, Tirmidzi, Nasaai, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban, dan Al Hakim. Imam Tirmidzi berkata : hasan shahih)
Berkata Imam Ibnu Rajab Al Hambali rahimahullah dalam Jaami’ul ’Uluum wal Hikam: ”Hadist ini merupakan asas dalam hal tawakal kepada Allah, dan sesungguhnya tawakal merupakan sebab terbesar yang dapat mendatangkan rezeki
Tawakal itu amalan hati. Indah dan benar amalan hati itu pada ketulusan usaha amalan zahirnya.
Dalam membicarakan soal penuntut ilmu, sudah pasti matlamat dalam belajar adalah untuk menguasai khazanah ilmu tersebut. Mereka yang memahami konsep tawakal akan berusaha bersungguh-sungguh semampu mungkin dengan cara yang dirasakan terbaik dan tidak bertentangan dengan syariat dan pada masa yang sama mereka juga jelas bahawa natijah akhirnya adalah kerana rahmat kasih sayang ketentuan Allah SWT jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
Sesungguhnya Allah SWT yang menetapkan sebab dan Allah SWT juga yang menetapkan keputusan dari sebab itu. Jadi sepatutnya bagi mereka yang faham tidak akan diungkapan lagi,
“Aku sudah berusaha tetapi kenapa tidak berjaya juga??!”
Kata Imam Abu Qassim al-Qusyairi r.a :
Ketahuilah sesungguhnya tawakal itu terletak di dalam hati. maka gerakan lahiriah adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan tawakal yang ada di dalam hati setelah seseorang meyakini bahawa rezeki itu datangnya dari Allah. Jika terdapat kesulitan, maka hal itu adalah kerana takdirNya dan jika terdapat kemudahan maka hal itu kerana kemudahan dariNya.
“kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
Dapat kita tadabbur ayat di atas ini bahawa Allah SWT meminta supaya kita berazam,berusaha dan berbuat sebaik mungkin dan kemudian menyerahkan segalanya kepada Allah untuk menetapkan hasilnya dan Allah SWT jawab kembali bahawa Allah mengasihi hambaNya yang bertawakal.
Apakah lagi hadiah yang paling diingini oleh kita melebihi kasih sayang dari Allah SWT sendiri?
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman bermaksud
“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal.” 3:160
Berbalik kepada ibrah dari seekor burung tadi. Burung itu tidak hanya duduk lenggang kaki di dalam sarang dan mengharapkan rezeki itu sampai terhidang di hadapannya. Bahkan burung-burung ini akan berpagian meninggalkan sarangnya untuk mencari rezeki yang telah ditetapkan untuknya. Maka patut bagi kita manusia berasa malu pada makhluk kecil ini yang kuat usahanya dan yakinnya. Bermula hari esok, bangunlah dengan resmi tawakal seekor burung ini agar kita tergolong dalam kumpulan manusia yang Allah SWT kasihi dan sayangi.
Wallahua’lam.- Pahatan Gsi_syabab
No comments:
Post a Comment