Ikhwanna...
Kawan atau member adalah orang yang
kita akan cari selepas daripada keluarga. Salah satu dari nikmat Allah SWT
kepada kita adalah mempunyai kawan yang baik dan memahami diri kita. Dengan
berkawan, kita belajar untuk saling berkenalan, tolong-menolong dan mengetahui keunikan setiap individu tersebut.
Bukan bau wangi aku lah..!
Memberlah tempat kita enjoy, tempat kita kongsi
masalah, tanya pendapat itu ini, sharing secrets dan kadang-kadang buat
nakal-nakal skit. Jadi member inilah yang sebahagian besarnya akan mempengaruhi perkembangan peribadi
diri kita dalam sedar atau tidak. Sebagai contoh jika kita berkawan dengan seorang
yang minat bola sepak maka kita pun akan turut sama tahu berkenaan dengan bola
sehinggakan apabila kita bercakap dengan orang ramai, bila masuk perihal bola
kita seolah-olah mengetahui sungguh padahal kita hanyalah terkesan dari suasana
rakan-rakan yang sering bercakap berkenaan bola sepak. Itulah penangan member
kepada persoaliti kita.
“Sahabat yang baik umpama
penjual minyak wangi, biarpun kamu tidak membeli minyak wanginya,
sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau minyak wangi yang dijualnya.
Sebaliknya, sahabat yang jahat seumpama tukang besi, kalaupun tidak terbakar
baju kamu akibat api besi yang diketuk, sekurang-kurangnya kamu mendapat
tempias bau hangitnya”-HR. Muslim
Islam menekankan pemilihan member-member ini kerana
Islam tahu bahawa kawan itu akan menjadi cerminan kepada kawannya. Pilih kawan
yang kita akan luangkan banyak masa bersama, susah senang bersama dan belajar
membuat keputusan bersama adalah kawan yang menjadikan Islam sebagai perinsip
hidupnya.
Nasib duk ngan ko kalu tak berhabuk Quran aku ni…!
“(Agama) Seseorang itu adalah sama seperti
(mengikuti) agama sahabat karibnya, maka perhatikan dengan siapa kalian
bersahabat.” (HR. Abu Dawud)
Seorang kawan itu sepatutnya memberikan kesan dan pengaruh
yang baik pada kawannya. Jika kawannya lupa maka dialah yang patut mengingatkannya.
Jika kawannya tidak tahu apa yang salah maka dialah yang patut
memperbetulkannya. Jika kawannya buat silap maka dialah orang pertama yang
menasihati dan menegur kawannya itu.
Tiang seri ukhuwah kita bukan kayu jati..tapi iman sejati!
Ukhuwah di dalam Islam tertegak atas dasar keimanan dan
ketaqwaan. Praktikalnya bagaimana? Sering kali kita dengar alasan apabila
seorang itu buat suatu kesalahan maka kita bertanya pada kawannya kenapa tidak
tegur? Maka jawabnya simple, takut kawan yang melakukakan kesalahan itu
terguris hati atau kecil hati dengannya jadi dibiarkan kesalahan berkekalan
asal hubungan persahabatan terus baik dan selamat. Ini salah! Seriously wrong!
Ada juga yang beralasan masing-masing ada hak masing-masing jadi kau buat kerja
kau dan aku buat kerja aku, yang ini pun konsep ukhuwah yang salah.
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
“ Teman-teman karib pada hari itu saling
bermusuhan satu sama lain kecuali mereka yang bertaqwa”- surah az-Zukhruf : 67
Suatu hari nanti di mana semua makluk jin dan manusia hanya
sibuk memikirkan hal keadaan diri masing-masing maka ketika itulah mereka yang
kita panggil kawan dapat dilihat sama ada kita bersahabat dulu kerana Allah
atau kerana kepentingan tertentu. Jika kita berkawan kerana Allah maka
sepantasnyalah kita sama-sama menyibukkan diri dalam perkara ketaqwaan seperti
sama-sama berusaha memperbaiki diri kearah lebih baik sebagaimana yang Islam
ajarkan, memperbanyakkan amal kebajikan, menolong orang yang memerlukan
bantuan, bercakap benar, memenuhi janji dan menjaga diri dari perkara yang
dilarang agama. Semoga kita tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam ayat
al-Quran di atas “..kecuali mereka yang bertaqwa”.
Ukhuwah antara family…!
Sungguh kedasyatan hari akhirat itu sangat menakutkan dan
pasti kita sangat berhajat pada hubungan persaudaraan atas dasar ketaqwaan ini.
Ukhuwah di jalan Allah juga ditegakkan dalam hubungan kekeluargaan dan bukan
sahaja antara kita dan kawan-kawan. Ukhwah di dalam keluarga malah lebih
mustahak kerana mereka adalah orang yang lebih dekat dengan kita. Seorang ayah
pasti sanggup berpenat lelah demi memberi kesenangan kepada isteri dan
anak-anaknya tetapi bolehkah kita bayangkan suatu keadaan ini bagaimana jika
sebuah keluarga yang bahagia itu menjadi sebaliknya sehingga seorang ayah yang
kita sebutkan tadi begitu penyayang malah berubah sehingga sanggup menggadaikan
anak-anaknya, isterinya yang dahulu dia betul-betul melindunginya bahkan jika
boleh mahu sahaja digadaikan seluruh manusia di bumi semata-mata untuk
menyelamatkan dirinya. Renungkan firman Allah SWT ini yang bermaksud :
“Dan tidak ada seorang teman karib pun
menanyakan temannya. Sedang mereka melihat pada hari itu, orang-orang yang
berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus(dirinya) dari azab dengan
anak-anaknya, dan isteri-isterinya dan saudaranya dan keluarganya yang
melindunginya (di dunia) dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian
mengharapkan (tebusan itu) dapat menyelamatkannya” surah al-Maarij: 10-14
Kerana itu penting dalam setiap hubungan kita, sama ada
hubungan kekeluargaan atau persahabatan dipasakkan dengan kukuh akan kunci
ikatan itu kerana Allah SWT supaya dengannya hubungan itu akan berkekalan dan bermanfaat
bukan sahaja di dunia dengan kebahagiaan dan ketenangan malah dijanjikan pula
keselamatan dan kesejahteraan di akhirat sana.
Potong 14…!
Mengimbau kembali ukhuwah antara sahabat radiyallahu a’nhum
ajmaiin. Peristiwa keislaman ‘Uwaimir bin Malik al-Khazraji yang digelar dengan
Abu Darda’. Beliau telah diislamkan oleh sahabat karibnya iaitu Abdullah bin
Rawahah seorang penyair Ansor berketurunan Khazraj yang masyhur dan antara
penduduk Yatsrib(kemudian dikenali dengan nama Madinah) yang awal memeluk
Islam. Abu Darda’ sebelum keislamannya beliau adalah penyembah berhala yang
sangat taat sehinggakan setiap pagi beliau akan pergi melumurkan patung itu
dengan wangian-wangian dan akan pakaikan ia dengan pakaian sutera. Keadaan
berubah bila mana suatu hari Abu Darda’ tiada di rumahnya maka sahabat karibnya
Abdullah bin Rawahah datang dan berazam untuk menyedarkan rakannya bahawa
patung ini tidak berkuasa, tidak dapat memberi manfaat dan mudarat. Di ambil
pedang yang tajam dan dipotong berhala itu hingga terbelah semuanya. Ketika
pulang Abu Darda’ amat terkejut dan terperanjat akan hal keadaan patung yang
disembah itu dan kemudiannya mengetahui perbuatan itu dilakukan oleh sabahat
karibnya Abdullah bin Rawahah. Dalam keadaan yang amat marah, dia benar-benar
tidak percaya apa yang telah berlaku tetapi kemudiannya beliau berfikir dan
marahnya mula reda. Dirinya berbicara, “Jika berhala ini mempunyai kebaikan,
nescaya dia akan mempertahankan dirinya daripada kemudaratan yang menimpanya.”
Beliau terus pergi menemui Abdullah bin Rawahah. Mereka berdua pergi menemui
Rasulullah SAW dan di hadapan baginda Nabi SAW, beliau menyatakan keislamannya.
Begitulah nilai persahabatan yang sebenar. Jika sungguh
kawan itu disayangi maka selamatkanlah mereka seperti mana kamu ingin diri kamu
diselamatkan. Jangan pernah berburuk sangka dalam berukhuwah. Berlapang dadalah
antara satu sama lain. Lumrah dalam kita bersahabat dan berukhuwah ini, makin
kita kenal mereka maka makin banyak kelemahan dan kekurangan yang didapati.
Bersabarlah kerana mereka yang bersabar ketika berukhuwah dalam masyarakat maka
itu lebih baik dan mulia berbanding orang yang bersendirian kerana tidak tahan
sabar dalam mendepani kerenah sahabat dan masyarakat. Bukankah Allah SWT
bersama orang yang sabar dan Allah memuji orang yang bersabar sehingga Allah
menyatakan yang “Sesungguhnya Aku bersama orang-orang yang sabar..” yang mana
sabar itu adalah kerana Allah SWT. Wallahu a’lam.